Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama

​ 


Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan

TIMBALAN MENTERI HAL EHWAL UGAMA​


Dilahirkan pada 12 Januari 1970 di Kampung Kota Batu, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan telahpun mendirikan rumahtangga dengan Datin Norazimah binti Haji Ramlee dan dikurniakan tujuh orang cahayamata.

Pendidikan

Pendidikan awal bermula di Sekolah Melayu Sengkurong (1976-1979) dan Sekolah Ugama Sengkurong (1977-1979). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (1980-1988). Seterusnya menyambung pengajian di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperoleh Sarjana Muda Syariah Islamiyyah (November 1989-Ogos 1993). Semasa berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berpeluang meneruskan pengajian di Faculty of Law, International Islamic University of Malaysia (IIUM) dan memperoleh Diploma in Law & Administration of Islamic Judiciary (Ogos 1995 hingga Julai 1996) dan kemudiannya di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh Sarjana Pengajian Islam (Syariah) (Disember 2010 hingga Disember 2012).

Pengalaman Bekerja

Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam pada 7 Jun 2022.

Memulakan perkhidmatan dalam Kerajaan Negara Brunei Darussalam pada 1 November 1993 sebagai Pegawai Ugama. Sepanjang berkhidmat sebagai Pegawai Ugama itu, sering diatur untuk memangku dan diberi kuasa selaku Kadi Daerah Temburong, Kadi Daerah Brunei Muara dan Kadi Daerah Belait. Pada 1 April 2000, dilantik sebagai Kadi Daerah dengan penempatan di Daerah Tutong. Pada 1 April 2004, jawatannya selaku Kadi Daerah telah ditukar sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Pada 1 Julai 2006, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah. Pada 1 Mei 2009, dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah. Pada 1 Jun 2012, telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Kemudian pada 2 Ogos 2021, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sehingga 6 Jun 2022.

Pengurniaan

Di sepanjang perkhidmatan, telah dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu: Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Paduka’ pada 15 Julai 2022. Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar, Darjah Kedua (DSSUB) pada 15 Julai 2017. Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar, Darjah Ketiga (SSUB) pada 15 Julai 2011. Bintang Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar, Darjah Keempat (SUB) pada 15 Julai 2006. Manakala Pingat Kerja Lama (PKL) pada 30 Mei 2017.