Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

CEGAH BERSAMA NEGARA BAHAGIA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 90-91 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan). Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perbuatan keji itu)?”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam melarang umatnya daripada mendekati perkara-perkara yang boleh memudharatkan seperti meminum arak, berjudi, rasuah dan perkara-perkara yang bolhe menghayalkan seperti penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

Sesungguhnya setiap yang memabukkan, menghayalkan atau menghilangkan akal fikiran itu adalah haram. Daripada Ibni Umar Radiallahu Anhuma, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan hukumnya adalah haram. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Perlu diingat, bahawa penyalahgunaan dadah itu adalah dilarang dari segi syarak dan undang-undang negara kerana ia boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif dan memudharatkan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Di antara kesan-kesan negatif dan kemudharatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah itu adalah ia boleh menghancurkan rumah tangga, memporak perandakan keluarga, memusnahkan kesejahteraan hidup bermasyarakat dan seterusnya membebankan negara dan mengancam keselamatannya. Oleh yang demikian, sekiranya penyalahgunaan dan pengedaran dadah itu tidak dibendung dengan segera, maka masalah itu akan mengakibatkan kehancuran umat dan juga negara.

Sesungguhnya kesan kerosakan kepada sesebuah negara akibat gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram itu adalah sangat besar. Antara kesannya ialah menanggung kos yang tinggi untuk menguruskan aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

Walhal jumlah ataupun kos tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan membangun dan mencapai wawasan negara agar dapat berdiri dengan negara-negara maju yang lain. Akan tetapi malangnya negara akan terus berdepan dan terpaksa dialihkan sumber berkenaan semata-mata untuk membenteras jenayah ini dan memulihkan segelintir pihak yang masih tidak sedar akan tanggungjawab kepada diri sendiri mahupun tanggungjawab mereka terhadap negara.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bagi mencegah dan membenteras dari berlakunya penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini, antara agensi kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan ialah Biro Kawalan Narkotik.

Sebagaimana yang kita ketahui, tanggungjawab utama pihak Biro Kawalan Narkotik adalah untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan jenayah dadah di negara ini. Sesungguhnya usaha-usaha Biro Kawalan Narkotik dalam menguatkuasakan undang-undang ini akan menjadi lebih berkesan dan hanya berjaya mencapai tujuan dan maksudnya sekiranya mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat kerana masalah dadah itu boleh menruntuhkan usaha pembinaan masyarakat gemilang sekaligus mengancam masa depan negara.

Justeru, adalah penting supaya masyarakat berganding bahu dan membantu pihak Biro Kawalan Narkotik mencegah dan membenteras kegiatan sendiket pengedaran dadah yang berlaku dalam negara ini termasuk sikap mengambil peduli tentang aktiviti anak-anak dan keluarga yang boleh mencegah mereka daripada terjebak gejala berisiko ini.

Akhirnya, bersempena memperingati Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dan Pengedaran Dadah Haram yang disambut pada 26 Jun 2022, sesuai dengan tema tahun ini “Cegah Bersama, Negara Bahagia”. Marilah kita sama-sama meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dan sama-samalah jua kita berusaha mengawal dan mencegahnya dari memusnahkan anak bangsa dan negara kita. Mudah-mudahan dengan demikian, Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi dan menyelamatkan kita, bangsa kita dan juga negara kita daripada segala perkara-perkara yang keji dan munkar. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali-Imran ayat 104 tafsirnya:

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan) dan menyuruh (berbuat) yang makruf serta melarang daripada yang munkar. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

Attachments