Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

ISTIQAMAH MENGERJAKAN DAN MENINGKATKAN AMAL IBADAH

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Aga kita menuntut umatnya untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah dan amal kebajikan. Sesungguhnya orang yang istiqamah dalam beribadah, beramal kebajikan, berakhlak mulia dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi laranganNya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Fusilat ayat 30 tafsirnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian maka malaikat akan turun kepada mereka (sambil berkata:) Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat beberapa pengajaran yang terkandung dari ayat Al-Qur’an tersebut berhubung dengan orang yang istiqamah dalam amalannya, antaranya ialah:

Pertama: Seseorang yang istiqamah dalam beriman dan dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi oleh para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan kepada diri orang tersebut disebabkan kedatangan malaikat itu membawa rahmat kepadanya.

Kedua: Seseorang yang istiqamah, tidak mudah berasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendirian dan besar harapannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketiga: Orang yang istiqamah tidak mudah berasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia tahu bahawa semua itu adalah memang milik Allah Subhanahu Wata'ala.

Keempat: Orang yang istiqamah juga akan mendapat balas syurga yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh itu, apa yang kita amalkan dan kerjakan di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu bersama keluarga di rumah sama ada fardhu mahupun yang sunat seperti mengerjakan sembahyang fardhu berjemaah, sembahyang-sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa, qiamulail, bersedekah dan sebagainya, semua itu hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadi pembakar semangat supaya kita terus berusaha meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadhan yang baru saja berlalu, telah mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan beriman dengan terus istiqamah melakukan segala amal kebajikan di bulan-bulan lain dan bukan melakukannya secara berkala atau bermusim. Sesungguhnya sifat istiqamah itu merupakan sifat terpuji dan sangat dituntut oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta ia termasuk dalam sifat-sifat Islam. Perkara ini telah disebut dalam sebuah hadis.

Daripada Sufyan bin Abdullah Tsaqofi Radiallahu Anhu, aku berkata, “Ya Rasulullah! Ucapkanlah kepadaku sesuatu perkataan mengenai Islam, (di mana) aku tidak bertanyakan kepada seseorang pun melainkan kepadamu. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: “Ucapkanlah! Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu beristiqamah denganNya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Penerapan sifat istiqamah ini dalam diri setiap orang beriman menandakan kita itu orang yang taat kepada perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Perlu diketahui, bahawa istiqamah itu bermaksud kekalkanlah atau tetaplah dan teguhkanlah dirimu dengan melakukan amalan-amalan ketaatan dan berhenti dari melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Justeru sayugianya kita sama-sama berusaha dalam mempertingkatkan sifat istiqamah iaitu istiqamah hati untuk terus berzikir, membaca Al-Qur’an dan lain-lain amalan serta istiqamah dalam menjaga lidah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan beristiqamah iman seorang hamba hinggalah istiqamah hatinya dan tidak akan beristiqamah hatinya hinggalah istiqamah lidahnya.

Akhirnya, memandangkan istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak, maka beristiqamahlah dalam setiap amal ibadah dan amalan yang berkebajikan. Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah itu akan dapat membentuk diri kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali-Imran ayatt 133 tafsirnya:

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu) kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”

Attachments