Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MEMPERTAHANKAN NEGARA TUGAS MULIA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dikurniakan sebuah negara yang aman damai, makmur dan harmoni. Oleh itu, sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi bertuah ini, adalah menjadi kewajipan kita untuk sama-sama menjaga kesejahteraan dan kemakmuran yang kita nikmati ini dengan sebaik-baiknya iaitu dengan memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan memperbanyakkan doa kepadanya agar Allah Subhanahu Wata'ala akan menambah dan mengekalkan segala nikmatNya kepada bumi Darussalam ini dan menjauhkan kita daripada sebarang malapetaka, wabak penyakit, huru-hara dan sebagainya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmatKu) tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Untuk mencapai kesejahteraan dan keamanan di sesebuah negara atau tempat itu bukanlah suatu pekerjaan yang mudah, malah ia memerlukan persefahaman dan perpaduan semua pihak disamping memiliki pasukan keselamatan yang mantap.

Alhamdulillah, di negara kita Brunei Darussalam terhadap pasukan-pasukan keselamatan yang telah diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara dan salah satunya ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, di mana pada tarikh 31 Mei yang lalu telah menyambut Jubli Intan Sempena 60 Tahun penubuhan dengan tema “Bersama Menjayakan Wawasan Negara”.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei mempunyai tugas yang sangat murni dan amat mencabar sama ada Angkatan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Darat. Mereka memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan dan sempadan negara daripada pencerobohan dan daripada sebarang anasir yang menganggu-gugat keamanan dan kedaulatan negara.

Sesungguhnya tugas tentera menjaga dan mempertahankan negara itu adalah amat mulia dan ia bukanlah satu tugas yang mudah, akan tetapi mempunyai banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Oleh yang demikian, setiap anggota tentera yang mengalas dan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, sangatlah kita sanjung tinggi dan dihargai serta kita wajarlah berterima kasih kepada mereka.

Apa yang lebih penting juga, tugas yang mereka pikul ini amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Umar bin Al-Khatab Radiallahu Anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi setiap orang itu mengikut apa yang diniatkannya. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kekuatan dan kehebatan sesebuah pasukan tentera itu tidaklah memadai dengan memiliki peralatan moden dan senjata canggih semata-mata, akan tetapi yang lebih utama juga ialah daya kepimpinan bijaksana yang berteraskan iman dan taqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya kekuatan iman dan taqwa itu amat penting bagi sesebuah pasukan tentera. Ini kerana, sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam itu bukan sahaja terletak pada keramaian tentera dan kecanggihan peralatan perang. Akan tetapi ia juga berpunca dari kekuatan iman, taat dan setia kepada ketua ataupun pemerintah dan berjuang dengan ciri-ciri, yang disebutkan ini adalah selaras dengan empat nilai teratas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei iaitu profesional, setia, berani dan taqwa, ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Bercakap mengenai kekuatan iman dan nilai taqwa ini kita bercontoh kepada peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam semasa perang Badar. Walaupun pada ketika itu, bilangan tentera Islam adalah lebih kecil jumlahnya jika dibandingkan dengan bilangan tentera musuh, akan tetapi dengan berbekalkan keimanan, ketaqwaan dan semangat juang yang tinggi kerana Allah Subhanahu Wata'ala serta strategi yang berkesan maka tentera musuh dapat ditewaskan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 123 tafsirnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu (dengan memberikan kemenangan) dalam peperangan Badar, sedangkan kamu (pada waktu itu) berkeadaan lemah (kerana bilangan kamu sedikit dan kurang senjata). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuri (segala nikmatNya).”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Semangat perjuangan dan mempertahankan negara ini bukan sahaja hanya perlu ada pada anggota tentera sahaja, akan tetapi semangat perjuangan dan mempertahankan negara itu perlu juga ada pada setiap anggota masyarakat.

Perlu diingat, bahawa negara kita Brunei Darussalam adalah tanah tumpah darah kita, yang kita warisi dari zaman dahulu lagi. Justeru, negara ini wajib kita jaga dan wajib kita pertahankan. Oleh itu, perasaan cinta kepada agama, bangsa dan negara perlu disemai dalam hati setiap rakyat dan penduduk di negara ini. Sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, sama-samalah kita berganding bahu membantu pihak tentera menjaga keamanan dan kedaulatan negara kita yang tercinta ini.

Semoga dengan demikian negara kita akan sentiasa aman dan terhindar dari sebarang ancaman musuh, dijauhi daripada wabak, bala bencana dan mara bahaya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali-Imran ayat 200 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), kuatkanlah kesabaran kamu (dalam menghadapi orang-orang kafir) dan bersiap sedialah (dengan kekuatan pertahanan di sempadan negeri kamu) serta bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

Attachments