Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MEMANFAATKAN SUMBER BUMI MELALUI PERTANIAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bertaqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya iaitu mentaati Allah dan rasulNya. Berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan bumi ini sebagai hamparan rezeki yang sangat luas supaya kita berusaha mencari sumber rezeki yang halal toiyiban bagi menyara kehidupan.

Dengan usaha ini, kita boleh menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga, menampung perbelanjaan harian di samping memberikan kita kemudahan untuk menunaikan amal ibadah dan membual amal kebajikan seperti mengeluarkan zakat, bersedekah dan seumpamanya. Dalam Al-Qur’an, terdapat banyak firman Allah Subhanahu Wata'ala yang memerintahkan hamba-hambaNya supaya bekerja mencari sumber rezeki, antaranya dalam surah Al-Qasaa ayat 73 tafsirnya:

“Dan antara rahmanya, dia menjadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu dapat beristirehat padanya (waktu malam) dan dapat mencari rezeki daripada limpah kurniaNya (pada waktu siang) dan mudah-mudahan kamu bersyukur”

Adapun antara sumber rezeki yang boleh diusahakan itu adalah bidang pertanian. Pertanian merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penghasilan atau pengeluaran makanan seperti perkebunan, penanaman dan penternakan termasuklah juga sektor, agri makanan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Memaju dan memanfaatkan sumber bumi melalui pertanian merupakan tuntutan dalam agama kita. Primustahak bidang pertanian itu dari prespektif agama Islam dapat dilihat dari banyaknya ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah-buahan yang beraneka macam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah mengingatkan tentang betapa perlunya tanah-tanah yang ada itu dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah itu terbiar dan dibazirkan dengan begitu sahaja. Daripada Rafiq bin Khadij Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerkannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam Wawasan Brunei 2035, antara hasrat negara ialah untuk mempelbagaikan ekonomi supaya tidak bergantung sepenuhnya pada hasil dari keluaran minyak dan gas. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Pemesyuaratan Ke-14, 2018 mengenai:

“Bidang pertanian. Bidang ini sangatlah mendesak untuk digerakkan. Bukan bergerak ikut mood. Tetapi bergerak demi keperluan. Negara adalah sangat-sangat memerlukan.

Sudah sampai masanya untuk Brunei berdikari dalam pemakanannya, hasilnya berdaya upaya untuk menyara diri sendiri dengan makanan asasi iaitu beras. Usahakan ia sampai berhasil.” Demikian titah baginda.

Oleh yang demikian, bagi menyahut seruan raja yang kita kasihi ini, pekerjaan dalam bidang pertanian sebagai sumber rezeki atau ekonomi itu hendaklah sayugia diusahakan, diterokai dan diceburi. Ini kerana jaminan keselamatan makanan itu adalah mustahak terutama pada ketika negara menghadapi masa-masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan yang disebabkan oleh pergolakan politik, bencana alam, perubahan iklim, jangkitan wabak penyakit dan seumpamanya.

Justeru, bagi menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara dan membentuk masyarakat dan negara yang mandiri. Kita hendaklah sentiasa berusaha dan mempertingkatkan lagi keluaran bekalan makanan yang tumbuh dari tanah dan bumi kita sendiri. Ini sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan dan keperluan negara untuk mengimport bahan-bahan makanan dari luar. Daripada Jabbar bin Abdullah Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang menghidupkan tanah yang mati (dengan tanaman), maka baginya mendapat pahala.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Pada setiap 1 November di Negara Brunei Darussalam telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Petani Dan Penternak dan Nelayan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu bagi mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa para peladang, petani, penternak dan nelayan yang berperanan besar selaku penjana makanan negara dan memajukan ekonomi negara. Hasil Segar Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan Kitani adalah tema Sambutan Hari Peladang, Petani Dan Penternak dan Nelayan pada tahun ini.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa, mengembling tenaga dan usaha bagi mengembang majukan lagi bidang pertanian, penternakan dan perikanan demi survaviliti atau kelangsungan bangsa dan negara kita yang tercinta ini. Mudah-mudahan dengan yang demikian, negara kita akan terus maju dan sekaligus akan dapat meningkatkan dan mempelbagaikan lagi ekonomo negara. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Yaasin ayat 34-35 tafsirnya:

“Dan kami menjadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan kami memancarkan padanya mata-mata air. Supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan daripada hasil usaha tangan mereka, maka tidakkah mereka mahu bersyukur (atas nikmat-nikmat itu)?”

Attachments