Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENGHARAPKAN KEREDHAAN ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA DENGAN SENTIASA BERSYUKUR

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama bertaqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan mengukuhkan keimanan kepadaNya dengan mematuhi segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan berbekalkan iman dan taqwa itu, mudah-mudahan kita sentiasa selamat di dunia dan selamat di akhirat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus menetapkan dan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita hingga ke akhir hayat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nahl ayat 18:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ اللهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ اللهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

صدق الله العظيم

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak dapat menghitung banyaknya, sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Allah Subhanahu Wata'ala telah mengurniakan nikmat yang tidak terkira dan tidak terhitung banyaknya kepada hamba-hambaNya. Kita telah dikurniakan nikmat akal untuk berfikir, dikurniakan nikmat anggota badan yang sihat untuk beribadah dan mencari rezeki yang halal lagi baik, dikurniakan nikmat keamanan, nikmat kesejahteraan dan nikmat kemakmuran dengan raja yang adil dan pengasih. Dengan kurniaan nikmat-nikmat tersebut, apakah yang perlu kita buat? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala bagi mengharapkan keredhaan.

Apa itu syukur? Syukur itu adalah pujian, ingin dan terima kasih kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala nikmat, rahmat, berkat dan taufik hidayahnya ke atas umat manusia. Sebagai umat Islam, kita mestilah memperbanyakkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah, Allah Subhanahu Wata'ala akan menambah lagi nikmat yang telah dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang bersyukur, tetapi jika mereka mengkufuri nikmat, menderhaka serta meninggalkan segala suruhannya dan melakukan segala laranganNya, maka buruklah balasannya di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 7:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

صدق الله العظيم

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmatKu) tentu aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mensyukuri nikmat Allah Subhanahu Wata'ala itu boleh dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya melalui hati, lisan atau perbuatan.

Bersyukur dengan hati iaitu dengan mengiktiraf dan mengakui dengan sepenuhnya bahawa semua nikmat-nikmat tersebut adalah kurnia dan pemberian daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Bersyukur dengan lisan iaitu menzahirkan di dalam kehidupan seharian dengan selalu memuji Allah Subhanahu Wata'ala yang memberi nikmat dan memperbanyakkan mengucap syukur kepadaNya. Daripada Samurat bin Khundub Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Perkataan yang paling disukai Allah itu ada empat, iaitu Subhanallah (Maha Suci Allah) dan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) dan Lailaha illallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan Allahu Akbar (Allah Maha Besar).

Bersyukur dengan perbuatan iaitu berlaku taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan mengunakan segala nikmat-nikmat yang dikurniakan pada tempat dan jalan yang diredhainya seperti menginfakkan atau membelanjakan harta itu dengan bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin, anak-anak yatim, orang-orang yang memerlukan, berderma ke tabung masjid dan sebagainya. Jika kita dikurniakan nikmat berupa ilmu pengetahunan maka amalkan dan ajarkanlah kepada orang lain sebagai amal jariah. Jika kita dikurniakan nikmat berupa pangkat kebesaran, kuasa atau kedudukan maka gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya, jangan disalah gunakan untuk jalan kebaikan dan kebajikan serta untuk mencegah kemungkaran. Ingatlah, bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan pasti akan diperhitungkan dan dipertanggungjawabkan di hari kendila kelak.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mensyukuri nikmat Allah Subhanahu Wata'ala itu boleh menyelamatkan kita daripada azab dan bala bencana. Di dalam Al-Qur’an telah banyak menceritakan tentang kisah umat terdahulu yang telah menerima segala nikmat kesenangan dan kemewahan, akan tetapi mereka telah ingkar, tidak bersyukur dan menderhaka kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Jadikanlah iktibar dan pengajaran kisah penduduk negeri Saba’ yang telah dilimpahi nikmat kemewahan, kesejahteraan dan kemakmuran. Mereka telah diingatkan oleh rasul-rasul yang didatangkan kepada mereka untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan dengan cara beribadah dan mengesakan Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, nikmat kesejahteraan dan kemakmuran yang mereka nikmat di negeri mereka telah dijawab oleh Allah Subhanahu Wata'ala akibat mereka tidak bersyukur dan negeri mereka telah ditimpakan bencana berupa banjir besar sebagai satu peringatan dan pengajaran. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Saba’ ayat 16-17:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَىْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ(16)

ذٰلِكَ جَزَيْنٰهُم بِمَا كَفَرُوا۟ ۖ وَهَلْ نُجٰزِىٓ إِلَّا الْكَفُورَ(17)

صدق الله العظيم

“Maka mereka berpaling ingkar lalu kami menghantarkan kepada mereka banjir besar dan kami mengantikan dua buah kebun mereka itu dengan kebun (yang ditumbuhi) pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon athlin (sejenis pohon cemara yang jarang berbuah) serta sedikit pohon bidara. Demikianlah kami membalas mereka dengan sebab kekufuran mereka dan sebenarnya kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang sangat kufur.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur bahawa rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa di dalam nikmat, inayah dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di bawah pimpinan raja kita iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sesungguhnya nikmat keamanan, nikmat kesejahteraan dan nikmat kemakmuran yang berpanjangan di bumi darussalam ini tidak datang dengan sendirinya bahkan ia adalah rahmat dan berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala kerana negara kita telah menegakkan dan meletakkan agama Islam dan hukum-hukum Allah Subhanahu Wata'ala di tempat yang teratas, manakala segala amalan yang bertentangan dengan akidah dan perbuatan yang berlawanan dengan syariat Islam dibentras dan dihindarkan.

Kita juga menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang telah dikurniakan ini dengan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara zikir yang sentiasa meningati dan mendahulukan Allah Subhanahu Wata'ala dalam apa jua tindak-tanduk yang diambil, sentiasa menyebut dan mengamalkan ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dalam sikap bidang kehidupan. Ini bertepatan dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir.

Selain itu, sambutan hari-hari kebesaran dan acara-acara keagamaan di negara ini juga disambut dan diraikan secara besar-besaran di peringkat negara seperti Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan, Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj dan Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an. Semua ini adalah semata-mata untuk mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala yang membawa kepada keberkatan, kesejahteraan, keteguhan beragama, berbangsa dan bernegara.

Akhirnya, marilah kita sentiasa bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas segala nikmat keamanan, nikmat kesejahteraan dan nikmat kemakmuran yang berpanjangan, yang telah dikurniakan di bumi darussalam yang bertuah ini. Sama-samalah kita berdoa: Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatmu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada kedua ibubapa kami dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah kami dengan rahmatmu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Nisaa’ ayat 147:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

مَّا يَفْعَلُ اللهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ اللهُ شَاكِرًا عَلِيمًا

صدق الله العظيم

“Tiadalah Allah akan mengazab kamu sekiranya kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah adalah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya lagi Maha Mengetahui (orang-orang yang bersyukur kepadaNya).”

Attachments