Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia serta di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam sangat mengambil berat tentang kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturahim sesama muslim. Antara amalan yang boleh kita lakukan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam ialah dengan menziarahi saudara-saudara kita yang sedang sakit. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ada bersabda tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit. Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga.

Sesungguhnya hukum menziarahi orang sakit adalah sunat muakadah, iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sait tidak hanya terbatas kepada keluarga, sahabat dan jiran tetangga yang sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti dan menzalimi kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam menziarahi orang sakit, kita hendaklah menjaga adab-adabnya, antaranya ialah:

Pertama: Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih sayang, persaudaraan dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam, bukan disebabkan niat atau tujuan yang lain seperti ingin mendapatkan kemewahan, pujian, pangkat dan seumpamanya.

Kedua: Melakukan ziarah itu pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama melakukan ziarah tersebut kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga boleh menganggu orang sakit yang berhampiran jika sekiranya ziarah itu diadakan di hospital atau di rumah sakit seperti berbuat bising atau bergurau senda yang berlebihan.

Ketiga: Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang yang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisikokannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya.

Keempat: Disunatkan untuk mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh. Sebagaimana hadis yang diriwayat oleh Ibni Hibban, bahawa baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam membaca doa ini sebanyak tujuh kali kepada pesakit, memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk menyembuhkannya:

Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.

Kelima: Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keinginan yang dilihat.

Keenam: Bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli keluarga atau ahli terdekat untuk mengajarkannya ucapan Laillahaillallah agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum ia meninggal dunia, serta menghadapkannya ke arah kiblat, iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Sunat dibacakan disisi orang sakit itu Surah Yaasin dengan suara yang dapat didengar oleh orang lain dan surah Ar-Raad dengan suara perlahan yang hanya didengar oleh dirinya sendiri.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Amalan menziarahi orang sakit itu banyak hikmah dan kelebihannya, antaranya ia dapat mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mendatangkan keinsafan kepada diri kita, ingat kepada kematian dan seterusnya mendorong kita untuk bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Daripada Ali Radiallahu Anhu ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga.

Perlu diingat, semasa menziarahi orang sakit, kita hendaklah menjaga tingkah laku, dan tutur kata dengan baik serta tidak berbuat bising. Begitulah juga keadaan jika kita menziarahi orang sakit yang berada di hospital atau di rumah sakit. Patuhilah peraturan yang ditetapkan oleh pihak yang berkenaan seperti mengikut jualan masa lawatan yang telah ditetapkan.

Akhirnya, jadikanlah amalan menziarahi orang sakit sebagai budaya kita kerana ia mencerminkan perpaduan umat Islam dan dapat memberikan banyak pengajaran yang berfaedah bagi kita dan sama-sama kita berdoa semoga kita semua dikurniakan kesihatan dan keafiatan di dunia serta di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Tafsirnya:

 “Tuhan yang menciptankan aku maka Dialah yang mengurniakan hidayah kepadaku. Dan Dialah yang mengurniakan aku makan dan minum. Dan jika aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan aku.”

Attachments