Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

SABAR DALAM MENGHADAPI UJIAN DAN DUGAAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia itu semata-mata untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Sebagai seorang hamba Allah, kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian dan dugaan sama ada berbentuk kesenangan atau kesusahan. Sesungguhnya ujian adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman dan kesabaran kita. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 155:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ

صدق الله العظيم

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Sabar ialah sift tenang dan tidak terburu-buru serta mempunyai hati yang kuat menahan kesakitan, penderitaan, kesusahan dan lain-lain lagi. Sabar adalah salah satu sifat mazmudah dan merupakan senjata paling empuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Orang yang bersifat sabar itu dapat menahan diri daripada marah terhadap sesuatu yang tidak disukai serta dapat menahan lidah daripada mengadu sesuatu hal penderitaan kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Menghiasi peribadi dengan sifat sabar adalah akhlak orang yang mulia. Mereka sabar menghadapi kesusahan dan kepayahan hidup dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala ke atasnya. Ingatlah, ujian itu adalah satu fitrah dalam kehidupan kerana dengan ujianlah boleh menjadikan diri kita lebih dewasa, lebih tabah, lebih sabar dan lebih mengenal kekuasaan dan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Perlu diketahui, setiap ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala itu adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 216:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

صدق الله العظيم

“Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang beriman melihat ujian itu sebagai pintu rahmat yang akan mendekatkannya dengan syurga Allah, kerana balasan bagi hati yang sabar itu ialah syurga Allah, kerana balasan bagi hati yang sabar itu ialah syurga di akhirat kelak. Oleh itu, lihatlah setiap ujian dan dugaan hidup itu dengan sangkaan yang baik kerana walaupun sabar itu pahit akan tetapi penghujungnya adalah indah dan manis kerana balasannya adalah Syurga Adnin. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ar-Ra’ad ayat 23-24:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوَٲجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ۬ (٢٣) سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡ‌ۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ (٢٤)

صدق الله العظيم

“Iaitu syurga-syurga Adnin, mereka masuk ke dalamnya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amalan soleh daripada bapa-bapa dan datuk nenek mereka dan isteri-isteri mereka serta zuriat keturunan mereka, sedang malaikat-malaikat akan masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu. Sambil mengucapkan salam ke atas kamu disebabkan kesabaran kamu. Maka itulah sebaik-baik tempat kesudahan di akhirat.”

Allah Subhanahu Wata'ala sesungguhnya tidak akan menimpakan ujian dan dugaan di luar kemampuan hamba-hambaNya. Oleh itu, kadangkala kita diuji dengan berbagai-bagai ujian sama ada ujian kesenangan mahupun kesusahan, atau diuji dengan harta-benda sama ada kekayaan atau kemiskinan, atau diuji dengan kehilangan orang-orang yang tersayang dan sebagainya.

Begitu juga ada kalanya kita diuji dengan tekanan hidup seperti tekanan sosial, emosi dan kesempitan ekonomi seperti hutang-piutang, masalah rumah tangga, kegelisahan dan sebagainya. Oleh yang demikian, jika ditimpa ujian dan musibah, kita wajib bersabar, janganlah bersangka buruk terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dan beranggapan bahawa kita adalah orang yang paling malang kerana setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Bersangka baiklah terhadap segala ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala serta berusahalah menghadapi ujian tersebut dengan mencari jalan penyesalan yang bijaksana, berdoa, bertawakal dan lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Apa yang perlu, apabila menghadapi kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah berasa kecewa dan berputus asa atau berputus harapan sehingga memudaratkan dan mencederakan diri sendiri, yang akhirnya membawa kepada kesakitan dan kematian seperti mengambil tindakan menggantung diri, terjun dari bangunan dan sebagainya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda dalam sebuah hadis:

عن أنس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يتمنين أحدكم الموت لضر ينزل به، فإن كان لا بد متمنيا فليقل: اللهم أحيني ما كانت الحياة خيرا لي، وتوقني إذا كانت الوفاة خيرا لي. {رواه الإمام البخاري}

Maksudnya:

Daripada Anas Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Janganlah sekali-kali seseorang antara kamu menginginkan mati kerana kesusahan yang menimpanya, dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata: Ya Tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ia lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika ia lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika ia lebih baik bagiku.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya dengan bersifat sabar, seseorang itu tidak akan bertindak di luar batasan agama kerana sifat sabar itu membolehkan kita mengatasi segala ujian dan dugaan itu dengan akal dan fikiran yang waras serta tentang, tidak mengeluh, tidak akan berasa rasa gelisah dan kita akan sentiasa berserah serta bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nahl ayat 42:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَڪَّلُونَ

صدق الله العظيم

“iaitu orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.”

Ketahuilah, sabar itu adalah anugerah terindah yang menjanjikan pelbagai kurniaan dan ganjaran. Antaranya: orang yang sabar mempunyai kedudukan tinggi disisi Allah Subhanahu Wata'ala, mendapat keampunan, rahmat dan pentunjuk daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat balasan yang lebih baik daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Akhirnya, sebagai hamba Allah sentiasalah kita bersabar dalam menghadapi segala ujian dan dugaan kerana semua itu adalah ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah, Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan di dalam Al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa mengasihi dan bersama-sama yang sabar.

Sama-samalah kita berdoa Ya Allah, limpahkanlah kesbaran pada hati dan diri kami, teguhkanlah pendirian kami. Ya Allah, janganlah jadikan hati ini condong pada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmatMu keranan sesungguhnya Engkaulah zati yang Maha Pemberi. Ya Allah, Zat Yang Maha Mengarahkan kami, teguhkanlah hati-hati kamu untuk selalu taat kepadaMu. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-‘Araf ayat 126:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

رَبَّنَآ أَفۡرِغۡ عَلَيۡنَا صَبۡرً۬ا وَتَوَفَّنَا مُسۡلِمِينَ

صدق الله العظيم

“Ya Tuhan kami! Limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami sebagai orang-orang Islam.”

Attachments