TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-33
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
(UBD)
PADA HARI SABTU
25HB JAMADILAKHIR 1443
29HB JANUARI 2022
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta
bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua,
dapatlah kita hadhir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-33 Universiti Brunei
Darussalam pada hari ini.
Beta terlebih
dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana
berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah
ini juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan
sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian para graduan.
Walaupun
dunia masih bergelut dengan pandemik coronavirus, namun alhamdulillah,
situasi pandemik di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal, sehingga
membolehkan aktiviti-aktiviti seperti majlis konvokesyen pada hari ini
dapat dijalankan.
Menyebut mengenai
strategi, Beta difahamkan, bahawa UBD telahpun sampai keputaran Pelan
Strategik lima tahunnya pada hujung tahun 2020. Di antara pencapaian
signifikan dalam pelan strategik tersebut ialah kemasukan UBD buat
julung kalinya ke dalam dua world university rankings yang terkemuka,
iaitu QS dan Times Higher Education. Selain dari itu, UBD
juga telah memperkembangkan kampusnya berupa kampus luar negara pertama
di Da Nang, Vietnam.
Beta juga difahamkan
bahawa UBD telah memulakan inisiatif-inisiatif pelan strategiknya dari
2021 ke 2025 dengan visi National Relevance, Global Impact. Sehubungan
itu, Beta mengharapkan supaya UBD lebih memfokus kepada keperluan
nasional yang berimpak tinggi, seperti teknologi digital dan
kesejahteraan sosial. Penyelidikan juga patut diberi tumpuan, sejajar
dengan keadaan masa kini yang mementingkan kesihatan dan perubatan,
pendidikan, alam sekitar dan pembangunan lestari. Secara langsung,
diperlukan juga untuk terlibat memberikan input akademik dalam agenda
pembangunan dan perkembangan sosio-ekonomi negara.
Mengenai
sosio-ekonomi negara, adalah sangat diperlukan pengetahuan, kemahiran
dan kecekapan. Oleh itu Beta gembira, bahawa UBD akan terus
memperkembangkan serta menekankan lagi pembelajaran sepanjang hayat,
sebagai inisiatif meningkatkan kemahiran dan kecekapan masyarakat,
terutama sekali dalam konteks ekonomi global dan teknologi yang pesat
berkembang.
Disamping itu, Beta turut
melihat, bahawa institusi pengajian tinggi di negara ini, mungkin sudah
masanya untuk meneroka kelayakan mikro ataupun micro credentials yang
kini mengubah landskap pendidikan, akibat pendigitalan sektor pendidikan
tinggi dan transformasi digital di kalangan industri. Micro credentials
menawarkan bentuk pembelajaran yang sangat fleksibel dan inklusif yang
membolehkan kemahiran dan kecekapan diperolehi. Ini amat sesuai dalam
keadaan kita sedang memerlukan pekerja dan pencari kerja yang mahir
serta berdaya-saing. Tidak diragukan lagi, penyelidikan dan inovasi
adalah pemangkin utama ekonomi digital.
Mengenai
pencapaian inovasi, Beta mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UBD
atas penganugerahan Clarivate South and South East Asia Innovation Award
2020 dalam kategori institusi pendidikan. Beta difahamkan bahawa
anugerah ini adalah berdasarkan invention atau penemuan, jumlah dan
kejayaan paten serta tahap globalisasi berdasarkan pelaburan paten. Beta
juga difahamkan bahawa UBD adalah antara 6 universiti di rantau ini
yang mendapat anugerah sebagai ‘innovator’ teratas tersebut.
Beta
yakin, jika aspek pengajaran dan penyelidikan dimantapkan, maka UBD
boleh akan lebih melonjak selaku sebuah universiti ternama di dunia.
Akhirnya,
Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan.
Beta menyeru supaya semua graduan gigih berdikari dan berdaya tahan
serta pandai menyesuaikan diri untuk sentiasa relevan. Selain dari itu,
Beta juga mengingatkan para graduan untuk mengekalkan integriti
berdasarkan ajaran Islam supaya sentiasa mendapat berkat dan rahmat
daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Beta
juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada
semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat Universiti,
Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli Akademik, pegawai dan
kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan
ganjaranNya yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.