TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN
SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KE-37 BAGI TAHUN 2021
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Walaupun
keadaan berbeza, namun Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini masih
saja dapat dilangsungkan dengan izin Allah. Ini juga adalah nikmat untuk
disyukuri.
Kita jangan lupa, Sambutan
Hari Kebangsaan bukan untuk berpesta semata-mata, tetapi untuk
mengenang dan memahami akan harga kemerdekaan, bahawa kemerdekaan itu
bukan benda yang dibeli tetapi bulat-bulat datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Kemerdekaan,
mengenalkan kita kepada banyak perkara, antaranya bagaimana untuk
membangun diri dan negara? Misalnya, dari malas kepada rajin, dari
lambat kepada cepat dan dari mundur kepada maju. Inilah 'matlamat' utama
yang perlu dituju oleh bangsa merdeka.
Bangsa
yang merdeka, tidak boleh lalai atau lambat bertindak, kerana
persekitaran bukan statik, tetapi cepat berubah, dan perubahan itulah
namanya 'perkembangan'.
Bangsa
merdeka, mesti mengikuti perkembangan dan mencipta kemajuan. Kemajuan
itu terbahagi dua: Kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual. Kemajuan
fizikal dicapai dengan teknologi dan tulang empat kerat, sementara
kemajuan spiritual pula digarap dengan belajar dan praktikal ibadat.
Inilah
cara kita mengisi kemerdekaan, iaitu dengan menjana kemajuan fizikal,
sejajar dengan kemajuan spiritual. Kedua-duanya mesti berjalan seiring
untuk memenuhi tuntutan negara.
Maka
untuk itu, kita perlu memiliki modal insan yang gigih dan berkualiti,
yang berpendidikan duniawi dan ukhrawi serta mampu untuk menangani
segala cabaran.
Di kesempatan ini,
Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas
serta Ahli-Ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan
Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam
Ke-37 pada tahun ini.
Beta juga
merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga
Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam mahupun luar negara,
Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang
berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara
akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua.
Ameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.