Muslimin yang dirahmati
Allah,
MARILAH kita sama-sama
mengukuhkan iman dan taqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan mematuhi segala
suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan berbekalkan iman dan
taqwa itu, mudah-mudahan kita sentiasa selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala terus menetapkan dan meningkatkan keimanan dan
ketaqwaan kita hingga ke akhir hayat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kehidupan di dunia ini hanyalah bersifat
sementara dan kekal selamanya adalah kehidupan di akhirat. Allah Subhanahu
Wata'ala telah menjanjikan kepada hamba-hambaNya barangsiapa yang mencari
keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala suruhanNya dan
meninggalkan segala laranganNya, maka mereka akan memperolehi kegembiraan di
akhirat kelak iaitu dimasukkan ke dalam syurga yang kekal abadi. Syurga adalah
tempat balasan baik yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada
hamba-hambaNya yang beriman. Beramal dan bertaqwa dengan mengerjakan segala
amal soleh dan meninggalkan perkara yang keji atau munkar. Firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hajj ayat 14:
أعوذ بالله من
الشيطان الرجيم
إِنَّ ٱللَّهَ
يُدۡخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى
مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَفۡعَلُ مَا يُرِيدُ
صدق الله العظيم
“Sesungguhnya
Allah akan memasukan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan
soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sesungguhnya
Allah melakukan apa yang dikehendakinya.”
Ketahuilah syurga
yang dimaksudkan itu di dalamnya dipenuhi dengan pelbagai nikmat iaitu nikmat
yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan
tidak pernah terlintas oleh hati dan tidak pernah terbayang oleh akal fikiran. Penghuni
syurga sentiasa kekal dalam keadaan muda umurnya, tiada ditimpa penyakit dan
tidak lagi ada kematian. Di dalamnya disediakan pelbagai mahligai, istana,
sungai-sungai yang mengalir, perhiasan, kebun, bidadari dan pelbagai lagi
nikmat yang tidak terlintas di hati.
Sebelum masuk ke
syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu
ini ada bermacam-macam pula jenisnya dan mempunyai pintu yang dikhaskan untuk
golongan tertentu, antaranya:
Pertama: Babul Yamin,
pintu masuk sebelah kanan tempat masuknya orang tanpa hisab.
Kedua: Babul Jihad,
tempat masuknya para syuhada, iaitu mereka yang mati dalam mempertahankan agama
Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketiga: Babul Taubah,
tempat masuknya orang-orang yang bertaubat.
Keempat: Babul Solah,
tempat masuknya orang yang sembahyang.
Kelima: Babul Hajj,
tempat masuknya orang yang mengerjakan haji.
Keenam: Babul Rayyan,
tempat masuknya orang yang berpuasa.
Ketujuh: Babul Sedekah,
tempat masuknya orang yang bersedekah, iaitu menyedekahkan hartanya pada jalan
Allah.
Kelapan: Babul Redha,
tempat masuknya bagi orang yang menghalalkan dan memaafkan orang yang
berhutang.
Perkara ini jelas
dinyatakan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari; Daripada
Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Sesiapa yang menafkahkan hartanya dijalan Allah, ia kelak akan diseru
dari pintu-pintu syurga: Wahai hamba Allah, ini adalah suatu kebaikan
yang disediakan untukmu. Maka sesiapa yang daripada kalangan ahli sembahyang
akan diseru dari pintu Jihad. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa akan
diseru dari pintu Rayyan. Sesiapa yang dari kalangan ahli sedekah akan diseru
dari pintu Sedekah.” Lalu Abu Bakar Radiallahu Anhu berkata: Demi bapa dan
ibuku ya Rasulullah, tidaklah ada sebarang darurat ke atas orang yang diseru
dari pintu-pintu tersebut untuk masuk melalui kesemuanya, maka apakah ada orang
yang akan diseru dari ke semua pintu-pintu itu? Jawab baginda: Ya, dan aku
berharap engkau termasuk daripada kalangan mereka.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Sesungguhnya syurga
itu pula mempunyai tingkatannya yang tersendiri dan setiap tingkat berbeza-beza
mengikut amalan masing-masing ketika berada di dunia. Antara nama-nama
tingkatan syurga yang disebut di dalam Al-Qur’an ialah Jannatul Firdaus,
Jannatul Naim, Jannatul Maqwa, Jannatul Adnin, Jannatul Khuldi, Jannatul
Darussalam dan Jannatul Daruljalal. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi
darjatnya adalah “Jannatul Firdaus”. Siapakah penghuni Jannatul Firdaus?.
Di dalam Al-Qur’an,
surah Al-Muqminun, ayat 1 hingga 11 ada menyebutkan tujuh ciri-ciri orang yang
menghuni Syurga Firdaus. Mereka adalah orang yang khusyuk dalam menunaikan
sembahyang, orang yang memelihara diri daripada perbuatan yang sia-sia, orang
yang menunaikan zakat, orang yang menjaga kehormatan dan menjauhkan diri
daripada mendekati zina, orang yang menjaga ibadah sembahyang. Ketahuilah,
nikmat yang paling besar di dalam syurga adalah penghuninya dapat melihat Allah Subhanahu
Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Qiamah ayat 22-23:
أعوذ بالله من
الشيطان الرجيم
وُجُوهٌ۬ يَوۡمَٮِٕذٍ۬
نَّاضِرَةٌ (٢٢) إِلَىٰ رَبِّہَا نَاظِرَةٌ۬ (٢٣)
صدق الله العظيم
“Pada hari itu
muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri. Melihat kepada Tuhannya.”
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Hidup ini
hanyalah sementara, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap yang
hidup pasti akan mati. Persoalannya sekarang dengan kematian itu apakah amalan
kita di dunia ini sudah mencukupi untuk melayakan kita masuk ke dalam syurga? Tepuk
dada tanyalah iman. Oleh itu, selagi kita masih dipinjamkan nafas, dipanjangkan
usia, diberi nikmat kesihatan, masa, tenaga dan seumpamanya, maka tingkatkanlah
amal ibadah dan usaha untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala dan
meraih nikmat syurga yang dijanjikan. Janganlah kita menjadi orang yang rugi
dan menyesal di hari kendila. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita
berdoa semoga kita dan keluarga menjadi orang-orang yang beriman, bertaqwa dan
beramal soleh serta selamat daripada azab neraka dan seterusnya tergolong dalam
kalangan ahli syurga. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Bayyinah
ayat 7-8:
أعوذ بالله من
الشيطان الرجيم
إِنَّ ٱلَّذِينَ
ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ
(٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن
تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬اۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ
وَرَضُواْ عَنۡهُۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)
صدق الله العظيم
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, mereka itu adalah
sebaik-baik makhluk. Ganjaran mereka disisi Tuhan ialah syurga-syurga Adnin
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadapnya. Yang
demikian itu ialah ganjaran bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”