Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

KETETAPAN 01 ZULHIJJAH 1443 HIJRAH DAN HARI RAYA AIDILADHA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Berakas, Rabu, 29hb Zulkaedah 1443H bersamaan 29hb Jun 2022M–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Zulhijjah 1443 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam jatuh pada hari Jumaat, 01hb. Julai 2022 Masihi.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama mengumumkan perkara tersebut setelah selesai persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijjah 1443 Hijrah.

Persidangan tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas lewat petang tadi.


Juga hadir Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

Pada tahun ini, empat (04) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijjah 1443 Hijrah, iaitu: Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Hakim-Hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah berada di empat (04) lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Zulhijjah, 1443 Hijrah).

Hasil Merukyah Awal Bulan Zulhijah 1443 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1443 Hijrah pada hari Ahad, 10 Julai 2022 Masihi. Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha akan bermula pada jam 7.30 pagi. Umat Islam adalah disunatkan untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya Aidiladha pada hari tersebut serta bertakbir dan melakukan ibadah korban sehingga hari-hari tasyrik berikutnya.

Terdahulu, satu Majlis Keagamaan telah diadakan sementara menunggu hasil rukyah 01hb Zulhijjah 1443 Hijrah bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an oleh Yang Mulia Ahmad Darwish bin Hamdan, Johan Kategori C Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah/ 2022 Masihi.

Dikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan oleh Yang Mulia Mohd Tsuufiy bin Haji Abd Wahab, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Saadatul Bolkiah Kampong Sungai Akar dan seterusnya mengimamkan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah. Mu’azzin Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Mohammad Omar Afia Hasyir bin Awang Haji Ismail, Bilal Masjid Mohamed Bolkiah, Kampong Serusop.







Attachments