Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

ROMBONGAN TIMBALAN MENTERI HAL EHWAL UGAMA MENGHADIRI SEMINAR ULAMA ASIA TENGGARA 2022, KUALA LUMPUR, MALAYSIA

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Bandar Seri Begawan, Rabu, 29 Zulkaedah 1443H bersamaan 29 Jun 2022M–Rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama terdiri daripada Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Hj Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ketua Rombongan telah berlepas petang tadi ke Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri Seminar Ulama Asia Tenggara 2022 yang akan diadakan pada 30 Jun 2022. Turut menyertai rombongan, ialah Yang Mulia Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Antarabangsa dan MABIMS, di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seminar Ulama Asia Tenggara 2022 anjuran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia dengan kerjasama Muslim World League (MWL) akan dihadiri oleh 1000 peserta dari kalangan pemimpin dan cendikiawan Islam dari 20 buah negara termasuk Malaysia dengan tema “Kesatuan Ummah”.

Antara objektif seminar tersebut adalah untuk membangunkan wawasan tamadun bersama untuk penyatuan nilai perpaduan dan kesederhanaan dalam masyarakat manusia; membanteras ancaman pemikiran ekstremisme; mengubah konflik antara kepelbagaian politik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan; dan merangka program praktikal, inisiatif dan cadangan untuk memastikan kemampanan yang berkesan bagi mencapai objektif forum serta membina rangkaian peserta.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam ke seminar tersebut dihasrat akan dapat menjalin rangkaian yang bermanfaat untuk kepentingan Negara khususnya dengan rakan-rakan sejawat serta para cendikiawan Islam dari rantau Asia Tenggara.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, Yang Mulia, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Attachments