بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Junjongan, Sabtu, 18 Zulkaedah 1443H bersamaan
18 Jun 2022M–Penduduk Kampung Junjongan dan sekitarnya bakal
mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dijangka siap pembinaannya pada
bulan Mei 2023.
Sehubungan dengan itu, satu majlis
Mendirikan Tiang Masjid Baharu terletak di kampong Junjongan telah diadakan
pagi tadi. Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama di majlis tersebut itu ialah
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin
bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang
Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad
Juanda bin Haji Abd. Rashid, Menteri Pembangunan.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato
Seri Setia Haji Mohd. Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal
Ehwal Ugama; Ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Setiausaha Tetap- Setiausaha
Tetap dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian
Pembangunan serta penduduk Kampong Junjongan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah
Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid
baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji
Murat, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Majlis diteruskan dengan acara menuang
simen didahului oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia
Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri
Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Yang
Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abd. Rashid, Menteri
Pembangunan dan diikuti oleh para jemputan khas yang hadir. Kemudiannya bacaan Doa
Selamat oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar Ali
Saifuddien. Di penghujung majlis, Tetamu-Tetamu Kehormat Bersama serta para
jemputan yang hadir berkesempatan menyaksikan video pameran mengenai ciri-ciri
pembinaan bangunan masjid yang baharu berkenaan.
Apabila siap nanti, masjid baharu Kampung
Junjongan ini boleh menampung seramai lebih kurang 1,624 orang jemaah. Antara
kemudahan yang disediakan di masjid ini termasuk tandas khusus untuk Orang
Berkeperluan Khas, bilik kuliah, perpustakaan dan bilik pengurusan jenazah
serta tempat letak kereta khusus untuk Orang Berkeperluan Khas. Bangunan masjid
baharu ini akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan lebih kurang tiga (3)
ekar dengan menggunakan peruntukan untuk perbelanjaan daripada Tabung Dana bagi
Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam berjumlah Empat Perpuluhan Sembilan
(BND$4.9) juta ringgit







