بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
PULAIE, Isnin, 16 Zulkaedah 1443M
bersamaan 16 Jun 2022M – Pusat Da’wah Islamiah melalui Bahagian
Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah mengadakan Majlis Penutup dan
Penyampaian Sijil Skim Bimbingan Lanjutan 1 (Perempuan) Siri Ke-106 bagi
Muallaf pada hari ini di Dewan Maui’zzah, Bangunan Darul Huda, Pusat Da’wah
Islamiah.
Skim Bimbingan Lanjutan 1 (Perempuan)
Siri Ke-106 bagi Muallaf ini telah diadakan selama 14 hari bermula 01 Jun 2022
hingga 16 Jun 2022 secara serentak di keempat-empat daerah.
Jumlah keseluruhan peserta muallaf yang
menyertai skim pada kali ini adalah seramai 67 orang terdiri daripada 22 orang
dari Daerah Brunei Muara, 18 orang dari Daerah Tutong, 9 orang dari Daerah
Belait dan 18 orang dari Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan
juga menyampaikan sijil kepada para peserta skim ialah Pengarah Pusat Da’wah
Islamiah, Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Antara objektif skim ini adalah untuk
memberikan bimbingan kepada muallaf dalam meningkatkan dan menghalusi lagi ilmu
pengetahuan Ugama Islam terutama bidang ibadat sembahyang, akidah dan akhlak
serta mata pelajaran seperti Tauhid, Fiqh Solat, Fiqh Haji, Fiqh Munakahat,
Tasawwuf, Muqaddam, Amali, Sejarah Islam dan Kefahaman Keluarga.
Di samping itu, dalam usaha menjaga dan
memelihara kemaslahatan muallaf, Pusat Da’wah Islamiah juga telah menyediakan
beberapa program bimbingan khusus untuk muallaf seperti Bimbingan Pengenalan
Islam, Program Lawatan Tarbiyah Muallaf, Skim Bimbingan Asas, Skim Bimbingan
Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II.
Para muallaf juga boleh mengikuti Kelas
Bimbingan Muallaf pada setiap hari Juma’at bagi Daerah Brunei Muara dan
seminggu sekali mengikut jadual yang telah disediakan bagi Daerah Tutong,
Belait dan Temburong.
Sebarang pertanyaan atau keterangan
lanjut sila, hubungi Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) Pusat
Da’wah Islamiah di talian 2383996.



