بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Rabu, 10 Syawal 1443H bersamaan
dengan 11 Mei 2022M–Bagi memberikan peluang kepada para
pegawai masjid untuk menambah luaskan pengetahuan dalam hal ehwal berkaitan
dengan tugas imam dan bilal, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan
kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait
telah mengadakan Bengkel Kaifiat Ketika Menjadi Mu’azzin & Mengimam bagi
Pegawai-pegawai Masjid Daerah Belait. Acara berlangsung di masjid berkenaan.
Antara pengisian bengkel yang diadakan
selama sehari tersebut ialah membetulkan sebutan huruf, Mengenalkan kaifiat
yang sempurna dan disertai dengan tunjuk caranya. Bengkel berkenaan
dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji
Shahbudin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan
menyampaikan sijil pada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham
bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal
Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Antara tujuan bengkel ini diadakan adalah
untuk memberikan peluang kepada pegawai-pegawai masjid mendalami ilmu kaifiyat
menjadi Mu’azzin dan Imam. Selain itu untuk melahirkan pegawai masjid yang
boleh menjadi contoh kepada jemaah sekaligus dapat melahirkan kebolehpercayaan
kepada pihak Jabatan dan Kementerian.
Semoga dengan adanya bengkel seumpama ini
diharapkan akan dapat memberi ilmu pengetahuan yang berguna kepada pegawai-pegawai
masjid khusus dalam mereka menjalankan tugas di masjid-masjid.



