
KIARONG, Selasa, 23hb. Syaaban 1442H
bersamaan 06hb. April 2021M–Dalam usaha memperbanyakkan amal ibadah
di bulan Ramadhan, khususnya mengerjakan Sembahyang Sunat Tarawih berjemaah di
masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Institut Tahfiz Al-Quran
Sultan Haji Hassanal Bolkiah hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Surat
Lantikan Imam Sembahyang Sunat Tarawih bagi tahun 1442H/2021M. Majlis
berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan
menyampaikan surat lantikan Imam Tarawih pada majlis tersebut ialah Yang Mulia
Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal
Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Seramai 177 orang telah dilantik bagi
mengimamkan Sembahyang Sunat Terawih yang terdiri daripada 18 orang pegawai
masjid, 22 orang tenaga pengajar, 74 penuntut dan 63 lepasan pelajar Institut
Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang mana lepasan pelajar
Institut Tahfiz ini sama ada yang sedang berkhidmat dengan kerajaan atau yang
sedang menyambung pengajian di peringkat tinggi di dalam dan luar negara.
Mereka akan ditempatkan di 79 buah masjid di Daerah Brunei Muara, Daerah
Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.
Antara objektif penempatan imam terawih
dari kalangan pelajar dan lepasan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji
Hassanal Bolkiah adalah untuk membolehkan mereka ini mengulangkaji hafazan ,
memantapkan hafazan dan juga agar mereka ini diberikan pengalaman sebagai
seorang imam. Dengan penglibatan mereka sebagai imam di masjid yang telah
diaturkan, insya Allah akan dapat menarik lebih ramai jemaah untuk menghadiri
Sembahyang Sunat Terawih dan sebagai salah satu langkah untuk anak-anak
tempatan khususnya para belia dalam mentakmir dan mengimarahkan lagi masjid di
bulan Ramadhan yang akan datang ini.
Terdahulu sebelum penyerahan surat
lantikan imam sembahyang Sunat Terawih, mereka telah diberikan taklimat secara
teori dan praktikal tentang Aqwal wa Af’aal Sembahyang Terawih, agar mereka ini
memahami kaifiyyat mengimam yang betul termasuk bacaan, tuma’ninah, pergerakan
dalam sembahyang agar tidak terlalu cepat dan yang berkaitan dengannya.







