
Berakas, Isnin, 22hb Sya’ban 1442H
bersamaan 05hb April 2021M–Majlis Ugama Islam Brunei telah memperkenalkan
salah satu cara alternatif bagi pembayaran zakat fitrah, iaitu perkhidmatan
pembayaran zakat fitrah secara online. Perkhidmatan ini adalah kerjasama antara
Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Datastream
Digital Sdn Bhd (DST).
Perkhidmatan pembayaran zakat fitrah
secara online akan memudahkan masyarakat Islam di negara ini untuk menunaikan
kewajiban zakat fitrah dengan penjimatan masa dan keselamatan kewangan. Orang
ramai akan dapat menggunakan dua kaedah pembayaran zakat fitrah secara online,
iaitu melalui BIBD ‘QuickPay’ dan melalui sistem perkhidmatan eZakat DST.
Perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara online akan dapat digunakan untuk
tahun ini mulai 1hb Ramadhan sehingga 28hb Ramadhan 1442 Hijrah.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran
Perkhidmatan Pembayaran Zakat Fitrah Secara Online diadakan di Kementerian Hal
Ehwal Ugama petang tadi. Pelancaran disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis,
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang
Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama
selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam.
Sejurus selepas pelancaran, tetamu
kehormat menyaksikan demonstrasi secara langsung (live demonstration) cara-cara
pembayaran zakat fitrah menggunakan BIBD ‘QuickPay’ dan sistem perkhidmatan
eZakat DST.







