Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MULTAQA DA’IE BERSAMA MUFTI

BERAKAS, SELASA 28hb. Jamadilawal 1442H bersamaan 12hb. Januari 2021M-Berlangsung Multaqa Da’ie Bersama Mufti di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah, Kampong Pulaie.

Hadir selaku Penceramah Khas Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. 

Turut hadir Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Dr Haji Adanan bin Haji Basar, Raes KUPU SB;  Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth); Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, Pemangku Penolong Mufti (Ifta’); dan Dr Haji Mohammed Husain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku Rektor UNISSA.

Dalam usaha mempertajamkan da’wah, Pusat Da’wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da’wah telah merancang beberapa program, di antara program berkenaan ialah Multaqa Da’ie Bersama Mufti, yang memfokuskan dalam pemerkasaan para da’ie dengan kaedah-kaedah da’wah berkesan bagi menghadapi pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.

Antara lain, bagi menjunjung hasrat Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah iaitu bagi melahirkan penceramah-penceramah tempatan yang berkaliber.

Objektif program ini diadakan untuk memberikan suntikan semangat kepada pegawai-pegawai Pusat Da’wah Islamiah untuk menghadapi cabaran da’wah masa kini, menyediakan wadah para da’ie untuk bersemuka dengan Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam menimba ilmu serta memantapkan kredibiliti pegawai-pegawai Pusat Da’wah Islamiah dan da’ie-da’ie yang berkecimpung dalam arena da’wah.

Peserta Program terdiri daripada imam-imam, pensyarah-pensyarah UNISSA, KUPU SB, pegawai-pegawai di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, guru-guru ugama, da’ie-da’ie bertauliah, belia-belia da’ie, belia-belia syahadah, kumpulan Al-Minhaaj Centre serta pesara kerajaan yang masih aktif di dalam da’wah.

Multaqa Da’ie Bersama Mufti dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Awang Muhammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Haji Abd. Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah dan diikuti dengan Ceramah Khas yang bertajuk: Melahirkan Da’ie Berkaliber yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Antara pengisian ceramah khas yang disampaikan ialah konsep da’wah mesti berterusan dan tidak boleh berhenti kerana naluri manusia memerlukan da’wah, adapun tugas da’wah, bukanlah tugas yang khusus untuk nabi sahaja, bahkan untuk semua pihak yang berkewajipan untuk menyeru kepada kebaikan. Yang Berhormat Pehin menekankan mengenai da’wah bil lisan, kerana ia adalah yang lebih diperlukan pada masa ini mengikut fenomena dan peredaran masa. Ada tiga pendekatan yang berkesan yang digariskan oleh Yang Berhormat Pehin, antaranya ialah; memastikan kandungan isi da’wah yang disampaikan benar-benar diperlukan oleh masyarakat; kedua penampilan yang selayaknya perlu ada, dan ketiga, pastikan cara penyampaian adalah benar-benar menarik. Dengan adanya ketiga-tiga pendekatan ini, menurut Yang Berhormat Pehin, tidak ada sebab untuk menjadikan da’wah lemah dan tidak berkesan.

Multaqa Da’ie Bersama Mufti ini diharapkan dapat mendatangkan manfaat bagi meningkatkan kualiti penyampaian ceramah di Negara ini dan dengannya da’wah di Negara ini akan bergerak lebih maju seiring dengan keperluan semasa.




Attachments