Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

HAFLUT TAKHARRUJ (MAJLIS KONVOKESYEN) KALI KE LAPAN INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

BERAKAS, Rabu, 02hb., Rabiulakhir 1442H bersamaan 18hb., November 2020M-Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Haflut Takharruj Kali Ke Lapan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pagi tadi.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman,  Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Haflut Takharruj kali ke-lapan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Majlis dimulakan dengan persembahan Hafazan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ibrahim ayat 35 hingga ayat 37, oleh Yang Mulia Awang Abdul Haziq Syarafuddin Bin Abdul Habib sementara intisari ayat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Sabiq Bin Haji Sulaiman. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan bahawa graduan yang berjaya hari ini perlu tahu bahawa kejayaan yang dicapai setakat Diploma 'Aliyah Qiraat masih perlu digimbari dengan kemahiran dan kelayakan ilmu-ilmu lain.

Dengan cara itu, sembah Yang Berhormat, negara akan mempunyai rakyat yang berpelajaran dan berkemahiran di bidang profesional yang juga adalah hafiz Al-Quran.

''Sesungguhnya ini boleh dicapai kerana aliran pelajaran di institut ini adalah merangkumi juga mata pelajaran umum dan boleh lagi dikembangkan.

''Bagaimanapun setakat kejayaan cemerlang ini tidaklah menjadikan pimpinan institut setakat berpuas hati. Sebaliknya ia hendaklah dijadikan perangsang untuk mendorong ke arah membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi kerjaya graduannya dalam jangka pendek dan jangka panjang,'' tegas Yang Berhormat.

Sembah Yang Berhormat lagi, hal itu, termasuklah untuk meneliti semula kandungan kursus untuk pelajarnya mengikuti kemahiran lain, di samping hafaz Al-Quran dan ilmu Al-Quran atau berpengetahuan dalam bidang agama semata-mata walaupun ia sangat mencabar, namun ia sangat perlu dan tepat untuk diusahakan.

Pada Majlis tersebut Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan mengurniakan sabda.

Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan menyempurnakan pengurniaan penganugerahan syahadah (sijil) Diploma Aliyah Qira’at kepada 39 orang graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pengurniaan syahadah Diploma 'Aliyah Qira’at kepada graduan kali ini terdiri daripada 20 orang siswa dan 19 orang siswi. Seramai 22 orang penerima pangkat Mumtaz (Cemerlang), 13 orang penerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik) , dan 4 orang penerima pangkat Jayyid (Baik). Penganugerahan Diploma ‘Aliyah Qiraat Al-Quran kepada para graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa-siswi khusus dalam bidang Hafazan Al-Quran dan ilmu Qiraat.

Bagi memohon keberkatan, bacaan doa selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.


Attachments