Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

KETETAPAN 01 ZULHIJJAH 1441 HIJRAH DAN HARI RAYA AIDILADHA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERAKAS, Selasa, 21hb.Julai 2020M–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Zulhijjah 1441 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Khamis, 23 hb. Julai 2020M setelah hasil Merukyah Awal Bulan Zulhijah 1441H, petang tadi, di beberapa lokasi tidak berhasil kelihatan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijjah 1441 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  

Persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Awang Haji Bahrin bin Haji Alias, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syar’iah.  

Pada tahun ini, lima buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijjah 1441 Hijrah, iatu; Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.  

Hasil Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1441 Hijrah pada petang itu telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Berikutan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1441 Hijrah pada Hari Sabtu,  01hb. Ogos 2020M. Umat Islam adalah disunatkan untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya pada hari tersebut serta bertakbir dan melakukan ibadah korban sehingga hari-hari tasyrik berikutnya.

 

Attachments