Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

FENOMENA GERHANA MATAHARI

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 21 Jun 2020–Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana. Perkara tersebut antara intipati kandungan khutbah khas mengenai fenomena gerhana matahari yang berlaku petang ini.

Menurut Khatib lagi, apabila berlakunya gerhana umat Islam seharusnya menjadikannya satu iktibar dan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta memohon ampun kepadaNya dan bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan.

Berikutan fenomena tersebut, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah megadakan Sembahyang Sunat Gerhana Matahari.

Di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Sembahyang Sunat Gerhana Matahari berjemaah telah diimamkan oleh Yang Mulia Awang Haji Haris bin Haji Suboh, Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. Manakala menjadi khatib pula ialah Yang Mulia Awang Aziz bin Haji Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Hadir sama bagi sama-sama menunaikan sembahyang sunat gerhana ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama. Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta penduduk-penduduk yang tinggal di sekitarnya.


           
Attachments