Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PELANJUTAN PENUTUPAN SEMENTARA MASJID, SURAU DAN BALAI IBADAT SELURUH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Isnin, 23 Mac 2020M - Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam ingin memaklumkan bahawa berikutan dengan arahan yang telah dibuat mengenai penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat selama seminggu yang akan berakhir pada malam hari ini, Isnin 29 Rejab 1441 Hijrah bersamaan 23 Mac 2020 Masehi disebabkan kejadian Covid-19 yang turut melanda negara kita, maka untuk menentukan langkah selanjutnya sama ada menarik arahan itu atau melanjutkannya Majlis Ugama Islam telah menilai perkembangan wabak Covid-19 itu pada hari Sabtu 26 Rejab 1441 Hijrah bersamaan 21 Mac 2020 Masehi.


Penilaian adalah dengan berpandukan nasihat serta maklumat dan keterangan terkini daripada Kementerian Kesihatan mengenainya dan bahaya-bahaya penularannya yang mesti dibendung.  Antara langkah membendung wabak Covid-19 itu daripada terus merebak ialah dengan melarang atau menegah mengadakan perhimpunan ramai, serta berdasarkan hukum syara’  berpandukan kepada Fatwa Mufti Kerajaan Bil: 02/2020 khasnya bagi tujuan menolak (menghindari) kerosakan atau kemudaratan itu lebih utama dari mendatangi/menghampiri kemaslahatan.


Berdasarkan nasihat dan maklumat serta keterangan Kementerian Kesihatan itu, Majlis Ugama Islam mendapati dan meyakini wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada masa ini adalah masih sangat berbahaya, menjejaskan kesejahteraan dan mengancam nyawa. Dan dengan berpandukan Fatwa Mufti Kerajaan bil. 02/2020 khasnya mengenai langkah menolak (menghindari) kerosakan atau kemudharatan itu lebih utama dari mendatangi/menghampiri kemaslahatan, maka Majlis Ugama Islam menetapkan adalah menjadi kewajiban kepada semua pihak di negara ini untuk meneruskan langkah-langkah yang boleh mencegah penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita pada masa ini dari terus merebak.


Maka pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan ini memaklumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara adalah diteruskan lagi selama seminggu mulai hari Selasa 29 Rejab 1441 Hijrah bersamaan 24 Mac 2020 Masehi hingga hari Isnin 06 Syaaban 1441 Hijrah bersamaan 30 Mac 2020 Masehi sebagai langkah berwaspada bagi menghindarkan bahaya (mudharat) yang diyakini akan menjejaskan kesejahteraan dan mengancam keselamatan nyawa.


Dalam masa yang sama, laungan azan bagi menandakan waktu-waktu sembahyang adalah diteruskan seperti yang lazim dengan pegawai-pegawai masjid dikehendaki bertugas seperti biasa. Dan untuk menghidupkan suasana masjid sebagai syi’ar Islam dan umat Islam khasnya di kawasan – kawasan tadahannya, maka suara sembahyang waktu berjemaah pegawai-pegawai yang bertugas dengan zikir dan doanya serta bacaan ayat-ayat al-Qur’an sebelum atau sesudah sembahyang itu juga hendaklah dikumandangkan melalui pembesar suara, mengikut kesesuaiannya.


Sebelum tempoh penutupan ini berakhir, penilaian akan dibuat dan kerja-kerja pembersihan masjid yang sedang berlangsung pada masa ini akan disegerakan penyelesaiannya dalam masa tempoh penutupan ini. Pembersihan-pembersihan ini akan diteruskan juga dengan melaksanakan panduan-panduan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan bagi mempastikan masjid berkeadaan bersih dan selamat untuk digunakan semula.


Dalam kesempatan ini Kementerian Hal Ehwal Ugama sukacita menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan maklum balas dan cadangan-cadangan berupa buah fikiran yang baik. Mereka menyambut baik langkah penutupan sementara supaya dalam masa negara dilanda wabak Covid-19 dan orang ramai menghadapi bahaya dan sebahagiannya telah mengalami ancamannya yang sangat berbahaya, adalah wajar institusi ugama khasnya masjid turut bahkan mengambil usaha mencontohkan semangat bekerja sama dan memelihara perpaduan dengan bukan sahaja mematuhi bahkan mengambil daya usaha, inisiatif melaksanakan langkah-langkah yang bertepatan dengan tujuan-tujuan menghindarkan bahaya seperti yang melanda kita semua pada masa ini.


Sehubungan dengan itu kita perlu bertenang, tidak panik menghadapi suasana dan keadaan di mana negara sedang dilanda wabak Covid-19 dan kehidupan biasa seharian kita turut terjejas maka patuhilah semua arahan pihak-pihak berkuasa sambil tetap berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala memohon perlindungan Nya dan tetap yakin akan ada lagi rahmat serta kasih sayang Allah Subhanahu wa Ta’ala berkat ketaatan kita kepada Nya sebagai Maha Pelindung yang utama  serta kepatuhan kita kepada arahan pihak-pihak berkuasa yang berautoriti menurut bidang-bidangnya. Sukacita pula dinyatakan bahawa beberapa teks doa ringkas ada diedarkan dan dikongsikan kepada orang ramai dan disiarkan melalui berbagai media dan juga disiarkan oleh radio dan televisyen yang boleh diikuti membacanya bersama dan diamalkan sendiri.


Sukacita juga diserukan untuk faedah bersama bahawa sementara masjid ditutup sayugialah kita ambil kesempatan mula melakukan atau meneruskaan bahkan meningkatkan lagi amal ibadat khasnya sembahyang berjemaah dengan ahli keluarga serumah disertai juga dengan beristighfar memohon ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala atas kesanghajaan atau keterlanjuran perbuatan yang menyalahi perintah dan larangan Nya. Saperti itu juga, meminta maaf atas dosa yang dilakukan kepada sesama hamba Allah. Kerana beristighfar memohon ampun itu adalah dituntut terutama atas dosa-dosa yang berat sebagaimana firman Allah dalam konteks suruhan dan galakan beribadat serta beramal saleh diikuti dengan melakukan istighfar memohon ampun, antaranya dalam sebahagian ayat 20 surah al-Muzammil:

 

"... وَأَقِيمُواْ لصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ لزَّكَوٰةَ وَأَقْرِضُواْ ﭐللهَ قَرْضًا حَسَنًا ، وَمَا تُقَدِّمُواْ لِأَنْفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَﭐللهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ، وَﭐسْتَغْفِرُواْ ﭐللهَ ، إِنَّ ﭐللهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ "


Mafhumnya “Dan dirikanlah sembahyang serta bayarlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dalam makna ibadat dan amal soleh). Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan untuk diri kamu nescaya kamu akan mendapat ganjarannya di sisi Allah sebagai balasan yang baik dan sangat besar pahalanya. Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”.

Attachments