Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PROGRAM 'MASJIDKU MAKMUR, NEGARA BERKAT' DI MASJID OMAR 'ALI SAIFUDDIEN,

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 12 Januari 2020M-Kebanyakan manusia kurang mengambil perhatian terhadap nikmat yang paling besar iaitu perihal mengenai nikmat kesihatan dan nikmat kesakitan.

Malah ada kalanya, nikmat sihat itu dipandang remeh dari segi kemanfaatannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mewasiatkan umatnya untuk sentiasa menjaga kesihatan dengan sebaik-baiknya sebelum datangnya sakit.

Perkara tersebut merupakan perincian yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Faidzal bin Haji Wahab bertajuk 'Hikmah Di sebalik Kesakitan' pada tazkirah subuh yang diadakan selepas Sembahyang Berjemaah Fardu Subuh pada Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, di sini.

Tazkirah tersebut turut menerangkan bahawa perkataan sihat memang tinggi nilainya semasa seseorang itu jatuh sakit. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, mudamu sebelum tuamu, kayamu sebelum miskinmu dan waktu lapangmu sebelum sibukmu.

Sakit merupakan satu ujian dari Allah Subhanahu Wata'ala dan kita selaku hambaNya hendaklah terus tabah, berusaha dan bertawakal kepada-Nya. Perlu diingat bahawa semasa hamba-hamba Allah melalui ujian sakit akan diutus Allah Subhanahu Wata'ala  dengan empat malaikat yang akan mendampingi dan menjaganya.

Malaikat pertama akan diperintahkan untuk mengambil kekuatan sehingga ianya menjadi lemah. Malaikat kedua pula diperintahkan untuk mengambil rasa kelazatan makanan yang dimakan sehingga hilang selera makan.

Manakala malaikat ketiga pula ditugaskan untuk mengambil cahaya di wajah sehingga menjadikan hambanya yang sakit tersebut kelihatan pucat. Seterusnya malaikat yang keempat ditugaskan untuk mengambil dosa-dosa hamba yang sakit tadi dan menjadikannya suci daripada dosa-dosa.

Program yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama disokong oleh Jabatan Perdana Menteri ini turut dihadiri oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar; Hakim Mahkamah Rayuan Syar'iah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd. Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Yang MuliaAwang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Kehadiran jemaah yang hadir memakmurkan rumah Allah diharap akan dapat menghidupkan amalan Sunnah Baginda Rasulullah SAW dan dapat membangkitkan rasa persamaan antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang secara berjemaah dan melakukan amal ibadat bersama-sama.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' merupakan sebuah program sama-sama mengalu-alukan jemaah bagi memakmurkan masjid dan seterusnya secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di masjid.


 

Attachments