Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

SESI MUZAKARAH ANTARA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA DENGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI TAHUN 2018

BERAKAS, Selasa, 09 Oktober 2018-Bagi memantapkan kualiti perkhidmatan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta bermuzakarah dan bertukar-tukar fikiran dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Muzakarah Bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, bertempat di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas, Negara Brunei Darussalam.

Hadir bagi mempengerusikan Muzakarah tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Muzakarah berkenaan adalah sebagai forum tahunan bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mengongsikan mengenai dengan perkembangan aktiviti, dasar serta polisi Kementerian yang terkini, di samping menjalin dan membangun ukhuwah yang lebih erat di antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan sebagai persiapan menghadapi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara 2019/2020.

Muzakarah dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid.

Kemudiannya, Muzakarah diteruskan dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz menyentuh mengenai terdapat enam bidang strategik utama ditetapkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam usaha memandu gerak kerja matlamat yang hendak dicapai yang menjurus dalam menjadikan negara menuju 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur'.

Enam bidang tersebut mencakupi Pendidikan Ugama Berkesan, Da'wah yang Mantap, Kedaulatan Undang-Undang Syariah, Keselamatan Sosial yang terjamin, Permakanan Halal dan Perkhidmatan Berkualiti dan Cemerlang.

Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof menjelaskan demikian dalam ucapan alu-aluan semasa sesi Muzakarah KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Menurut  Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz, beberapa langkah juga telah diambil oleh pelbagai sektor dalam meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan masing-masing selaras dengan fokus strategik yang ditetapkan.

Dari segi Pendidikan Ugama berkesan jelasnya, KHEU berperanan melahirkan insan yang seimbang, berjaya di dunia dan akhirat, modal insan yang berilmu, beramal, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Selain itu tambahnya, KHEU juga mahu melahirkan pelajar ugama intelek yang kompetitif di peringkat global dan terus berusaha menyediakan sarana, prasarana dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Sementara dari sudut Dakwah dan Syiar pula jelas  Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz, KHEU akan terus meneroka kaedah dan pendekatan tertentu bagi mendekatkan orang ramai dengan masjid terutamanya sembahyang Subuh berjemaah seperti program Masjid Makmur Negara Berkat.

"Kita juga melihat pentingnya untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan istighfar dalam kehidupan seharian. Istighfar mengundang rahmat, perlindungan dan keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala. Kita telah bergerak dengan inisiatif tertentu bagi menjadikan istighfar sebagai budaya yang diamalkan," ujar Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz.

Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz seterusnya menambah, dalam perkembangan pembinaan masjid-masjid baharu, KHEU dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 telah merancang untuk membangunkan beberapa buah lagi masjid antaranya di Kampung Meragang, Mengkubau, Rimba, Telisai dan Lugu.

Manakala dalam sektor Keselamatan Sosial Terjamin dan Permakanan Halal pula jelasnya, kedua-dua sektor ini telah memainkan peranannya dengan baik dan sektor zakat telah memainkan peranannya memberikan bantuan terhadap golongan asnaf fakir dan miskin..

Setelah itu, Muzakarah diikuti dengan ucapan daripada wakil Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @Sabli bin Haji Arsad.

Kemudian Muzakarah disusuli dengan Sesi Dilog Muzakarah yang dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama. Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Serudin bin Haji Timbang; Timbalan

Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengarah pengarah, Penolong-penolong Pengarah, Ketua-ketua Bahagian, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Terdahulu Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berkesempatan menyaksikan Pameran yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di pameran tersebut, Jabatan Hal Ehwal Syariah mengetengahkan pameran (showcase) mengenai “Pensijilan Halal serta Pencapaian dan Perkembangannya”. Manakala Jabatan Majlis Ugama Islam mengetengahkan mengenai “Pencapaian Dan Kejayaan Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) dan Agihan Zakat kepada warga asing”.




Attachments