Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PROGRAM “MASJIDKU MA’MUR, NEGARA BERKAT” DI MASJID OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN, BANDAR SERI BEGAWAN

Bandar Seri Begawan, Ahad, 07hb Oktober 2018M–Masjid adalah ibarat Rumah Allah, dan sesungguhnya menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan.

Program “Masjidku Ma’mur, Negara Berkat” di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien hari ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri. Ianya merupakan satu program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

“Masjidku Ma’mur, Negara Berkat” turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara “Bandarku Ceria”, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Program kali ini dimulakan dengan sembahyang fardhu subuh berjemaah dan diserikan dengan tazkirah bertajuk “Prinsip dan Adab Berkomunikasi Menurut Perspektif Islam” disampaikan oleh Yang Mulia Mohammad Shah bin Haji Taip, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

Dalam tazkirah tersebut menyatakan bahawa manusia diciptakan dalam keadaan berbilang bangsa, agama dan budaya dengan matlamat supaya manusia saling kenal mengenali. Untuk itu, manusia tidak boleh lari dari berkomunikasi antara satu sama lain. Komunikasi adalah wadah bagi pertukaran maklumat, idea dan kefahaman dari seseorang kepada seseorang yang lain, bagi menghasilkan tindak balas. Komunikasi terbentuk melalui tiga komponen iaitu 'sender' (penyampai), 'medium' (cara yang digunakan) dan 'receiver' (penerima).

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syarie, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah; Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Yang Arif Awang Haji Johar bin Haji Muhamad, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Roslan bin Haji Taja’ah: Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Ma’murnya masjid-masjid di Negara ini, adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi diri kita, keluarga dan juga Negara.

Attachments