Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MAJLIS SAMBUTAN AWAL TAHUN 1440 HIJRAH PERINGKAT NEGARA

BANDAR SERI BEGAWAN-Isnin malam Selasa, 10 September,2018M–Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara. Majlis berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong, Negara Brunei Darussalam.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’zzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Pusat Persidangan Antarabangsa di junjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara dimulakan dengan Bacaan Doa Akhir Tahun 143 Hijrah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Setelah masuk waktu maghrib, Azan Fardu Maghrib dilaungkan oleh Yang Mulia Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong.

Setelah itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah beserta Kerabat Diraja dan para jemputan, diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Dato Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie yang juga memimpin bacaan Doa Awal Tahun 1440 Hijrah.

Acara disusuli dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang juga diimamkan oleh  Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya Negara Brunei Darussalam beroleh kemakmuran dan kesejahteraan serta terhindar dari bala bencana.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Selepas itu Majlis diteruskan dengan Sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah.

Majlis juga disemarakkan dengan penyampaian Tazkirah Hijrah oleh Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh.

Bagi memohon keberkatan majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis kemudiannya disusuli dengan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.Bagi memohon berkat dan rahmat di majlis yang berkebajikan ini, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan,

Tema Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara ialah “Ilmu Dan Amal Nadi Wawasan Negara”.

Sembahyang berjemaah dan doa kesyukuran bagi menyambut kedatangan Awal Tahun Hijrah 1440 juga turut diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan di masjid-masjid utama iaitu bagi Daerah Belait tumpuan utama adalah di Masjid Rancangan Perpindahan Negara Pandan, Kuala Belait; di Daerah Tutong tumpuan utama di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, manakala di Daerah Temburong ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar Temburong.

 

Attachments